Strategi Pemasaran Produk Pelancongan – Mengenalpasti Corak Perbelanjaan Pelancong Pulau Pangkor

Kajian “Strategi Pemasaran Produk Pelancongan: Mengenal pasti Corak Perbelanjaan Pelancong Pulau Pangkor” merupakan satu kajian di bawah Geran Penyelidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Perak.
Kajian ini adalah kesinambungan kepada kajian 2011 bertajuk Penjenaamaan Semula Pulau Pangkor sebagai Destinasi Ekopelancongan melalui Kaedah Pelbagai Bidang (Rebranding Pangkor as Ecotourism Site through Multi-disciplines Approaches). Untuk itu, laporan ini turut melaporkan hasil tinjauan ke atas sebarang aktiviti penambahbaikan yang telah dilakukan berdasarkan teguran dan cadangan yang di utarakan dalam kajian 2011. Namun begitu, perlulah ditekankan bahawa tujuan utama kajian 2012 ini adalah untuk mengenal pasti gelagat perbelanjaan pelancong. Maklumat ini akan membantu dalam perancangan pembangunan pelancongan dan pembuatan keputusan. Selain daripada itu, kajian ini juga mengkaji beberapa faktor lain yang mempengaruhi pelancong ketika berada di Pulau Pangkor. Antaranya tempat yang dikunjungi serta kajian kepuasan pelancongan berkenaan produk pelancongan yang terdapat di Pulau ini.