General News

IDR Peluang Pekerjaan

By Institut Darul Ridzuan

Akibat COVID-19 yang melanda Malaysia pada Mac 2020, kadar pengangguran telah meningkat disebabkan oleh penguncupan ekonomi Malaysia. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengatasi penularan virus COVID-19. Pelaksanaan PKP ini telah menyebabkan penguncupan ekonomi Malaysia yang menyebabkan pertambahan kadar pengganguran. Dengan ekonomi yang meleset, syarikat mengalami masalah kewangan dan akan mengurangkan kadar pengambilan pekerja untuk penjimatan kos. Ekonomi kerajaan Perak jugak turut terjejas akibat COVID-19, semakin ramai individu yang menganggur dan berlaku penurunan taraf hidup untuk rakyat Perak. Berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), kadar pengganguran di Perak bertambah sebanyak 1.4% daripada 3.4% pada tahun 2019 kepada 4.8% pada tahun 2020. Individu yang tidak bekerja bertambah dari 36.7 ribu pada tahun 2019 kepada 53 ribu individu pada tahun 2020 (DOSM, 2021)

Kerajaan Perak telah merangka pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengatasi kadar pengangguran yang semakin meningkat. Program Transformasi Tenaga Kerja (WorkPro) adalah salah satu inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa 2. WorkPro telah dilancarkan pada Jun 2020 untuk membantu kelompok yang terkesan dari COVID-19 dari aspek pekerjaan dan taraf hidup. Tiga kategori telah dirangka di bawah WorkPro iaitu Latihan Peralihan Tenaga Kerja, Latihan Pengekalan Tenaga Kerja dan Latihan Peningkatan Kemahiran. Dana untuk WorkPro sebanyak RM4.3 juta telah disediakan dan diuruskan oleh Jawatankuasa TVET. Peserta WorkPro akan diberi latihan untuk Reskilling, Add-On Skill dan Upskilling. Tujuan utama WorkPro adalah untuk memberi nilai kepada individu untuk mencari pekerjaan dan mengaplikasikan kemahiran tersebut untuk kelangsungan hidup (PASAK, n.d).

Kerajaan Perak juga melancarkan program seperti “Moh Cari Kroje” pada Mac 2021, dibawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia. Pelbagai program telah dilaksanakan dibawah program “Moh Cari Kroje” seperti Sesi Temuduga Mingguan bersama industri, Program Temuduga di peringkat daerah/negeri dan juga Karnival Kerjaya secara maya. “Moh Cari Kerja” juga membantu individual dari bandar dan luar bandar untuk mencari kerja melalui pendaftaran sebagai pencari kerja dan membantu mereka untuk mencari kerja yang bersesuaian. Slogan #GERAK telah dilancarkan untuk memberi nilai komersial kepada program “Moh Cari Kroje” (SUK Perak, 2021).

Kerajaan Perak bekerjasama dengan agensi-agensi dan badan-badan kerajaan yang lain seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan pihak industri untuk memastikan kelancaran program-program yang dirangka. Melalui kerjasama dari pelbagai pihak, skop latihan dan kerja yang disediakan untuk individu adalah lebih luas dan menyeluruh. PASAK adalah antara agensi yang banyak menjalankan program untuk pembangunan modal insan, penyediaan latihan dan insentif serta pemasaran kerjaya seperti Karnival Kerjaya Maya, Program Perintis, Skim Latihan Modular Pacuan Industri Negeri Perak dan Kursus Pendidikan Teknikal Vokasional dan Latihan (TVET) (PASAK, n.d)

References: 

Department of Statistic Malaysia. (2021, August 2021). Perak @ a glance. Department of Statistic Malaysia Official Portal. Retrieved from https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cone&menu_id=RTRycHhPcisweHpMdlVwKzhMY25XUT09

PASAK. (n.d). Program Transformasi Tenaga Kerja – WorkPro. Pusat Aspirasi Anak Perak. Retrieved from https://perakpasak.org/workpro/

PASAK. (n.d). Pusat Aspirasi Anak Perak. Retrieved from https://perakpasak.org/

SUK Corporate Perak. (2021). Outreach Career Program 2021 Helps Provide Job Opportunities: 30 March 2021. Retrieved from https://www.perak.gov.my/index.php/en/berita-utama-en/1913-outreach-career-programme-2021-helps-provide-job-opportunities-30-march-2021

Other News
Menu